YWM | MAJLIS PELANCARAN WAKAF AIR

0
119

PUTRAJAYA, 17 Disember 2020 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melancarkan Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau ringkasnya ‘Wakaf Air’. Inisiatif secara bersama kedua-dua agensi ini adalah bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mapan melalui instrumen wakaf. Wakaf Air ini merupakan produk wakaf khas yang diwujudkan di bawah Wakaf Tunai Malaysia YWM.

Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha Kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan. Sumbangan ini bukan sahaja untuk berbakti sesama manusia malah telah dijanjikan ganjaran pahala yang berterusan kepada pewakaf. Wakaf Air merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

Sebagai tanda kerjasama tersebut, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KASA dan YWM telah dimeterai antara YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KASA dan YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM sambil disaksikan oleh YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air dan YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM dan YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air.

Wakaf Air adalah merupakan salah satu daripada strategi pembiayaan inovatif bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman yang tidak dapat dicapai oleh operator air. KASA akan bekerjasama rapat dengan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi mengenal pasti projek-projek yang sesuai dibiayai di bawah mekanisme ini.

Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00 seperti penggaliaan perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif.

Pemilihan serta pelaksanaan projek ini akan dilakukan melalui struktur tadbir urus yang jelas dan telus berdasarkan garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan. Sebuah Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan bagi mengenalpasti projek, memantau dan menentukan hala tuju pelaksanaan Wakaf Air. Jawatankuasa ini akan membantu oleh Jawatankuasa Penilaian dan Teknikal yang bertanggungjawab menyaring dan menentukan kebolehlaksanaan sesebuah projek sebelum ia diluluskan.

Sumbangan wakaf ini boleh disalurkan menerusi Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang boleh dicapai melalui pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air. Setiap sumbangan adalah layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk kepada potongan yang boleh dituntut oleh individu adalah 7% dan syarikat 10% daripada pendapatan agregat selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (No. Rujukan Cukai: (8.09)248/40/7-2078(29) bertarikh 17 Julai 2019.

Dalam majlis yang sama juga, pihak YWM telah menerima sumbangan wakaf daripada pihak KASA melalui potongan gaji pegawai-pegawai secara sukarela dan sumbangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP).