fbpx

YWM | MAJLIS PELANCARAN SIJIL WAKAF BANGUNAN

MAJLIS PELANCARAN SIJIL WAKAF BANGUNAN

27 Julai 2020 – Dalam usaha mempelbagaikan produk wakaf di samping memberi pilihan untuk masyarakat berwakaf, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melancarkan Sijil Wakaf Bangunan (SWB) yang disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM. Turut hadir dalam majlis ini, Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM dan Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YWM.

 

SWB merupakan sijil wakaf yang diterbitkan ke atas bangunan yang dibeli oleh YWM dengan mendahulukan dana lain SELAIN dana wakaf. Ianya diterbitkan bersandarkan kepada jumlah kos perolehan dan pegangan bangunan tersebut serta terhad kepada jumlah tertentu yang menyamai Replacement Value atau lain-lain nilai yang bersesuaian ke atas bangunan tersebut. Sijil ini tidaklah mempunyai sebarang nilai tukaran tunai ataupun pulangan pelaburan melainkan hanya sebagai pengesahan penyertaan projek wakaf yang dilaksanakan oleh YWM.

 

Mengambil semangat bahawa setiap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah pemegang agama tunggal harta wakaf di negeri masing-masing selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, setelah kesemua sijil wakaf terjual sama ada daripada individu atau korporat, aset ini kelak akan diserah / didaftarkan sebagai aset wakaf MAIN. Di sinilah wujudnya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui YWM dan Kerajaan Negeri melalui MAIN.

 

Manakal, tunai yang diterima melalui pembelian unit sijil tersebut akan dikembalikan kepada YWM dan melalui dana tersebut, YWM akan membeli lebih banyak lagi aset untuk diwakafkan. Hasilnya kelak dijangka akan dapat membantu meningkatkan ekonomi dan pemilikan aset umat Islam di samping menggalakkan masyarakat menyumbang kepada projek-projek wakaf yang dilaksanakan oleh YWM.

 

Sehingga kini, YWM telah membeli 2 unit kedai pejabat yang mana kesemuanya terletak di Bangi Gateway, Selangor. Melalui 2 unit kedai pejabat ini, YWM telah mewujudkan sebanyak 555,970 unit sijil dengan nilai setiap unit sijil adalah RM25.00. Setelah semua unit terjual, bangunan ini akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor. Setiap dana wakaf yang disumbangkan layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967 tertakluk kepada potongan yang boleh dituntut oleh individu adalah 7% dan syarikat 10% daripada pendapatan agregat.

 

Alhamdulillah, menerusi majlis ini juga, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri dan Tuan Haji Ruslan bin Said, masing-masing telah mewakafkan 20 unit SWB dengan nilai RM500.00.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *