Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri (lahir 16 Januari 1969) merupakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan ke-7. Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Moden al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sebuah institusi hadith baru iaitu Ma’alim al-Sunan li Dirasati al-Sunnah al-Nabawiyyah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Beliau dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu pada 16 Januari 1969 dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu (1976-1981). Pendidikannya diteruskan di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang, Kuala Terengganu (1982-1984) sebelum meneruskan pengajiannya dalam peringkat Thanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu (1985-1988). Seterusnya, Datuk Dr. Zulkifli menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah (1989-1993). Tidak hanya berhenti setakat itu, beliau menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Syariah di Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997) di bawah seliaan Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin. Pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) pula diambil di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia (2002-2004) di bawah seliaan Prof. Dr. Radzi Othman. Tajuk kajiannya adalah Institusi Mufti Dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen Dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan.

Kehidupan beliau semasa menyambung pengajian di Madinah dan Syria dimanfaatkan secara keseluruhannya untuk mempelajari ilmu-ilmu secara formal mahupun tidak formal. Selain kelas-kelas formal di Universiti, beliau juga giat mengikuti pengajian para ulama’ tersohor di sana secara sistem talaqqi. Antara gurunya adalah Syeikh Muhammad Ali al-Thani, Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad, Syeikh Rusdi Bin Salim Qalam, Syeikh Dr. Muhammad al-Mukhtar bin Muhammad al-Amin Al-Shanqiti, Syeikh Sadiq Habannakah, Syeikh Al-Muhaddith Abdul Qadir Al-Arnaut, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abd Latif Soleh Al-Farfour, Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bouti dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhayli

Sehingga kini, beliau telah menulis lebih 300 buah buku meliputi pelbagai bidang dalam Pengajian Islam. Pengalaman luas beliau dalam pengurusan dan pentadbiran institusi kefatwaan, membolehkan beliau melakarkan siri-siri kejayaan semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. 

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengetuai enam Senator baharu mengangkat sumpah pada 10 Mac 2020 susulan pelantikan mereka menyertai Kabinet pada 9 Mac 2020. Beliau yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran.