fbpx

Pelan pembangunan semula industri nasyid Malaysia,

Saya sempat bertemu mata dan berbincang hampir 2 jam bersama Ahmad Zuwairi Che Ramly (Ketua Pegawai Eksekutif Nasyeed.Com), Muhammad Razin Che Mud (Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia, Munsyid Malaysia), Khairulnizam Zainol (Nasyeed.Com)⁣ dan Azmee Abdul Manap (Daqmie). Mesyuarat turut disertai wakil TV Al-Hijrah. ⁣

Pelbagai isu-isu kebajikan artis nasyid dikongsikan untuk perhatian pihak kerajaan. Disebalik gelak tawa, terselit tangisan dan genangan air mata yang amat saya fahami; menanggung 1001 beban keperitan sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini. ⁣

Bagi pelan penyelesaian jangka masa pendek, saya telah menyampaikan sumbangan kepada pihak MUNSYID Malaysia untuk disalurkan kepada penggiat industri nasyid yang amat memerlukan bantuan sepanjang tempoh ini. Artis nasyid yang hilang mata pencarian kerana bergantung sepenuh masa kepada bidang hiburan akan dilantik sebagai Bilal Rawatib bagi masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan. Anugerah Allah SWT kepada mereka wajar dimanfaatkan sebaiknya. Terima kasih Daqmie atas bantuan. ⁣

Bagi pelan pembangunan semula industri nasyid Malaysia, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan melibatkan TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, MUNSYID Malaysia dan NGO Creative Dakwah Club. 3 minggu lagi saya akan meneliti kertas cadangan daripada mereka berhubung hal ini. Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali diadakan. Kita akan memperkasakan nasyid menerusi industri muzik digital yang kian pesat kini. ⁣

Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya cuma nampak potensi yang amat besar pada mereka bagi turut sama menyumbang kepada dakwah, pendidikan dan keseimbangan psikospiritual masyarakat terutamanya dalam norma baharu yang sedang kita tempuhi bersama. Selagi saya masih berkhidmat, saya akan usahakan sehabis baik untuk industri nasyid tanahair.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *