fbpx

Majlis Penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih

 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih kepada masjid-masjid terpilih di Wilayah Persekutuan pada 27 Julai 2020 (Isnin), jam 12.30 tengah hari bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Turut hadir Haji Mohd Ajib Ismail Pengarah JAWI dan Puan Sharmila Mohamed Salleh, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia.

Turut diadakan sesi taklimat dan praktikal penggunaan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih oleh Yayasan Inovasi Malaysia kepada wakil-wakil masjid yang terpilih bermula jam 10.00 pagi.

Pada 11 Jun 2020, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Menteri dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melawat Biotechnology Incubation Centre, Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil bagi mendengar taklimat dan menyaksikan demonstrasi penyembelihan lembu menggunakan sangkar penyembelihan mudah alih yang dibangunkan pada 2013 hasil projek inovasi Yayasan Inovasi Malaysia.

Susulan itu, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mencadangkan agar masjid-masjid dibekalkan dengan sangkar penyembelihan mudah alih tersebut sebagai inisiatif bagi melaksanakan Ibadah Korban. Penggunaan sangkar penyembelihan mudah alih membolehkan proses penyembelihan ternakan dilakukan dengan cepat ; Pengendalian lembu lebih berhemah, efisien, bersih, patuh syariah serta sebagai syiar Islam yang sangat menitik beratkan aspek kebersihan, belas kasihan sesama makhluk di samping menjaga kebajikan pegawai-pegawai masjid yang bertugas.

Sebanyak 10 buah Sangkar Penyembelihan Mudah Alih diserahkan pada majlis hari ini dengan kos RM 150 ribu untuk dimanfaatkan oleh Pegawai, Kakitangan Masjid dan Surau serta ahli kariah setempat bagi pelaksanaan ibadah korban dalam norma baharu tahun ini.

Penggunaan sangkar inovasi dapat meminimumkan tenaga kerja seterusnya membolehkan para petugas mematuhi SOP yang ditetapkan seperti penjarakan sosial serta membantu mencegah dan mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *