fbpx

MAIWP | SEMANGAT NENEK KANTA IKUTI PROGRAM “JOM CELIK AL-QURAN”

PPR Pudu Ulu, 18 September –Kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang Nenek Rokiah Arshad, 71 tahun  untuk menyertai program “Jom Celik Al-Quran” anjuran MAIWP dengan kerjasama Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ).

Beliau mengalami masalah penglihatan dan terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk membaca Al-Quran. Dalam pada masa yang sama sebelum sesi kelas pertama bermula, nenek Rokiah baru sahaja selesai menjalani pembedahan di kaki akibat jatuh di dalam bilik.

Nenek Rokiah tidak menjadikan kekurangan beliau sebagai alasan dan tekad untuk menghabiskan pengajaran Al-Quran beliau. Nenek Rokiah merupakan peserta kelas tahsin Al-Quran yang merupakan salah satu daripada kategori program “Jom Celik Al-Quran”.

Selain kelas tahsin Al-Quran, 2 lagi kategori pengajian adalah kelas ibtida’i dan Kursus Latihan Tenaga Pengajar (TOT).

Dengan slogan “Dari Buta Ke Celik Al-Quran”, program “Jom Celik Al-Quran” ini telah dilancarkan oleh Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien AlHabshee pada 13 Julai lalu.

Adam Corrie Abdullah selaku ikon program “Jom Celik Al-Quran” berkata semangat yang ditunjukkan Nenek Rokiah perlu dijadikan contoh dan kekurangan yang dihadapi tidak dijadikan alasan untuk mempelajari Al-Quran.

Program ini merupakan salah satu tanggungjawab fardhu kifayah ke atas MAIWP dalam memastikan umat Islam khususnya asnaf di Wilayah Persekutuan  boleh dan mahir membaca Al-Quran.

Kelas tahsin Al-Quran berlangsung selama 90 pembelajaran yang melibatkan seramai 120 peserta. Kelas ini telah diadakan di empat lokasi iaitu di ibu pejabat MAIWP, PPR Sri Alam, PPR Pudu Ulu dan PPR Sri Malaysia.

Tiada yuran dikenakan kepada golongan asnaf, manakala bagi golongan B40 hanya dengan kadar RM30.00 dan kepada mereka yang berkemampuan kadar yuran adalah sebanyak RM300.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *