fbpx

MAIWP Sasar Umat Islam WP Celik Al-Quran

MAIWP dengan kerjasama Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) telah melancarkan program “Jom Celik Al-Quran” sebagai salah satu usaha dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan boleh membaca Al-Quran.

Program ini dilancarkan oleh Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien AlHabshee dalam satu majlis di ibu pejabat MAIWP di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur.

Dato’ Sri Syed Hussien dalam ucapan berkata sejurus input program ini diwawarkan, beliau menerima banyak maklumbalas positif dan berharap program ini dapat diteruskan ke negeri-negeri lain.

Program ini merupakan salah satu tanggungjawab fardhu kifayah ke atas MAIWP dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan boleh dan mahir membaca Al-Quran sekurang-kurangnya bacaan surah yang menjadi rukun dalam solat.

Program pengajian ini turut mendapat sokongan dan penyertaaan rakan selebriti seperti Adam Corrie, Lisdawati, Zila Bakarin, Ust Rushdi Al-Jauhari, Heliza Helmi dan Hazwani Afiqah yang turut hadir di majlis pelancaran tersebut.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Akbar Haji Samon dan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IPaQ, Prof. Dato’ Dr. Haji Zulkifli bin Haji Mohd. Yusof.

Dengan slogan “Dari Buta Ke Celik Al-Quran”, sebanyak 3 kategori program pengajian akan dilaksanakan iaitu pertama, kelas ibtida’i atau kelas asas memfokuskan mereka yang tidak boleh membaca Al-Quran menggunakan kaedah pengajian Abahata dan kedua, kelas tahsini yang memfokuskan kepada mereka yang telah boleh membaca Al-Quran tetapi tidak pernah khatam Al-Quran.

Kelas ini akan membimbing dan memperbaiki bacaan mereka dan mereka akan berjaya khatam bacaan Al-Quran setelah selesai kelas pengajian selama 90 jam.

Manakala kategori ketiga adalah Kursus Latihan Tenaga Pengajar (TOT) yang akan membimbing guru-guru di MAIWP dengan kaedah kemahiran untuk diterapkan dalam pengajaran kepada para pelajar di institusi di bawah MAIWP.

Tiada yuran dikenakan kepada golongan asnaf, manakala bagi golongan B40 hanya dengan kadar RM30.00 dan kepada mereka yang berkemampuan kadar yuran adalah sebanyak RM300.

Sekiranya dibandingkan dengan tempoh pengajian selama 3 bulan, yuran yang ditetapkan adalah sangat rendah dan berpatutan.

Adam Corrie Abdullah dilantik sebagai duta MAIWP atas sumbangannya dalam bidang dakwah.
Beliau ketika ditemui mengakui satu amanah yang besar untuk dipikul, namun akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh, terutama bagi membantu masyarakat dalam perkara kebaikan selain cintakan kepada al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *