fbpx

Laporan penyampaian sumbangan kepada 6 tempat di Perak.

Laporan penyampaian sumbangan kepada 6 tempat di Perak pada 5 Ogos 2020 yang bermula jam 3.30 petang dan berakhir jam 7.45 malam.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak, Exco-Exco yang hadir, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Agama Islam Perak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua pihak yang terlibat samada langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi penyampaian sumbangan ini.

Kunjungan ke Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Bota, Perak semalam yang berhadapan tragedi kebakaran minggu lalu. ⁣

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyampaikan sumbangan RM25,000 yang diserahkan kepada Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama.⁣

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua maahad tahfiz yang belum berdaftar dengan pihak berwajib, untuk berbuat demikian bagi memudahkan penyaluran bantuan, pemantauan dan lain-lain.

Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh seluruh warga Maahad Tahfiz ini.

Selepas menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, perjalanan di Perak diteruskan ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abdul Ghani di Kg. Seri Kaya Ekor, Bota. ⁣

Kami berbesar hati menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada pihak Madrasah bagi manfaat pengajaran dan pembelajaran di sini.⁣

Satu Majlis Serahan Bantuan Asnaf telah diadakan di SK Telok Bakong, Lambor Kanan semalam.⁣

JPM (Hal Ehwal Agama) melalui YaPEIM telah menyampaikan sumbangan YaPEIM Foodbank kepada 200 orang para pelajar dan warga sekolah dalam kalangan asnaf. ⁣

YB Menteri turut meluangkan masa menyampaikan bantuan peribadi kepada semua asnaf yang hadir. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung sepanjang PKP.

Tahniah kumpulan Cuci-Cuci Masjid YADIM atas kerja keras anda semua di Masjid Fadzlullah, Teluk Kepayang.⁣

Program Cuci-Cuci Masjid merupakan program ikonik terbaharu YADIM di seluruh negara yang memfokuskan pengimarahan semula masjid melalui aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.⁣

YADIM turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada 100 anak kariah Masjid Fadzlullah yang memerlukan bantuan.

Kelompok asnaf dan mereka yang memerlukan sentiasa menjadi keutamaan JPM (Hal Ehwal Agama).⁣

Semalam saya berkesempatan singgah menyampaikan sumbangan Sinar Kasih YaPEIM sebanyak RM4,800 kepada anak-anak ini yang dijaga oleh ibu saudara mereka di Felcra Nasaruddin. ⁣

Melihat wajah anak-anak kecil ini mengingatkan dunia kecil saya dahulu yang sentiasa penuh kegembiraan dan belum sepenuhnya mengerti cabaran hidup di masa hadapan.⁣

Saya berpesan kepada anak-anak ini untuk belajar bersungguh-sungguh bagi masa depan yang lebih cerah. Kolej Profesional Baitulmal MAIWP menyediakan pendidikan yang berkualiti dan setanding di peringkat antarabangsa untuk kelompok asnaf.

Misi penyampaian sumbangan di Perak semalam berakhir di sebuah rumah keluarga asnaf Tanjung Tualang menjelang Maghrib.⁣

Melihat titisan air mata mereka, memberi kami semangat untuk terus menggembleng tenaga dan memerah buah fikiran bersama Agensi Mengurus Zakat negeri bagi membantu segenap lapisan umat Islam terutamanya kelompok asnaf di seluruh negara. ⁣

Sumbangan RM4,800 melalui program Sinar Kasih YaPEIM disampaikan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung sepanjang PKP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *