fbpx

JKSM | Bicara Khas Siri 4 Bersama Ketua Hakim Mahkamah Syariah Aceh

 

 

 

9 Julai 2020: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah berjaya menganjurkan Bicara Khas Siri 4 bersama Ketua Hakim Mahkamah Syariah Aceh, Dra. Hj. Rosmawardani secara atas talian menggunakan perisian Skype for Business.

Bicara khas kali ini telah membincangkan tajuk yang sangat menarik iaitu “Pelaksanaan Undang-Undang Jinayah Syariah dan Tantangannya di Aceh Indonesia”.

Sesi tepat jam 2.30 petang dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang mana YAA Dato’ Dr. menzahirkan ucapan terima kasih atas kesudian Dra. Hj. Rosmawardani berkongsi ilmu dan maklumat berkaitan pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah di Aceh.

YAA Dato’ Dr. turut menerangkan bahawa siri bicara khas ini bukan sahaja diadakan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, bahkan bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Dra. Hj. Rismawardani dalam sesi ceramahnya telah berkongsi tentang sejarah perkembangan undang-undang syariah di Aceh dan undang-undang yang terpakai seperti Undang-undang No. 11 Tahun 2006 – Pemerintahan Aceh dan Perda No 5, Tahun 2005 – Pelaksanaan Syariah Islam.

Beliau turut berkongsi tentang jenis kesalahan jenayah yang diperuntukkan di Aceh seperti Khamar, Maisir, Khalwat, Ikhtilat, Zina, Perlecehan Seksual, Pemerkosaan, Qadzaf, Liwat dan Musahaqah.

Dari segi hukuman, terdapat tiga kategori hukuman yang berkuatkuasa iaitu Cambuk (sebat), Denda dan Kurungan dan hukuman paling tinggi adalah bagi kesalahan melakukan pemerkosaan terhadap mahram dan anak-anak.

Bagi kesalahan tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman sebatan minima 150 kali dan maksimum 200 kali sebatan, atau denda maksimum 900gram emas murni, atau maksimum 90 bulan kurungan.

Selain itu, persoalan tentang pelaksanaan sebat secara terbuka mendapat kecaman masyarakat luar negara turut dijawab dan sehingga ke hari ini, pelaksanaan hukuman tersebut terus dilaksanakan.

Untuk rekod, JKSM telah berjaya menganjurkan tiga sesi bicara khas sebelum ini dengan menjemput Senior President (Syariah Court) Singapura, Ketua Muda/Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia dan Hakim Mahkamah Rayuan (Bahagian Kekeluargaan) Australia.

Seramai 161 orang peserta telah mengikuti siri ceramah kali ini meliputi pegawai syariah seluruh Malaysia dan peguam-peguam syarie manakala program bicara khas seterusnya bakal melibatkan Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *