fbpx

192 pelanggan bertuah bawa pulang wafer emas

Petaling Jaya, 07 September – Seramai 192 pelanggan bertuah Ar-Rahnu YaPEIM memenangi satu gram wafer emas setiap seorang dalam Majlis Cabutan Kesetiaan Ar-Rahnu YaPEIM 2020 yang dilakukan di ibu pejabat yayasan itu di sini, hari ini.

Kesemua pemenang dipilih bagi kempen cabutan untuk tempoh Julai dan Ogos 2020.

Cabutan yang dibuat secara langsung serta ditayangkan terus di laman sosial Facebook ‘YaPEIM (Official)’ itu dilakukan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan.

Pemenang bertuah akan dihubungi dalam masa terdekat oleh pihak pengurusan Ar-Rahnu YaPEIM.

Parihah berkata, kempen yang bermula pada 1 Julai 2020 hingga 31 Disember tahun ini menawarkan 576 wafer emas dengan berat satu gram setiap satu berjumlah hampir RM200,000.

“Cabutan ini akan dibuat dua bulan sekali iaitu yang pertama pada bulan ini seterusnya pada November dan yang terakhir pada Januari 2021.

“Alhamdulillah sebanyak 100,356 transaksi telah direkod menyertai kempen cabutan bagi tempoh Julai dan Ogos 2020,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat YaPEIM, di sini.

Sementara itu, Parihah memberitahu Ar-Rahnu YaPEIM dengan kerjasama Etiqa Takaful akan melaksanakan perkhidmatan Ar-Rahnu YaPEIM i-Protect dalam masa terdekat.

Katanya, Ar-Rahnu YaPEIM i-Protect adalah produk baru yang menawarkan perkhidmatan takaful bagi transaksi gadaian yang dilakukan di semua cawangan Ar-Rahnu YaPEIM.

“Kita adalah Ar-Rahnu pertama menawarkan perkhidmatan takaful perlindungan terhadap transaksi gadaian dengan nilai perlindungan serendah RM1.25 untuk setiap RM1,000 nilai marhun (nilai barang kemas) bagi tempoh perlindungan sehingga 12 bulan selagi transaksi tidak ditebus.

“Kelebihannya ialah melindungi barang kemas milik pelanggan sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kematian dan kecacatan kekal sekali gus mengurangkan beban kewangan ditanggung waris dalam mendapatkan semula barang gadaian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *